07 November 2009

PAMERAN RAJA KITA

KUALA PILAH 6 Nov. - Pameran Raja Kita di Istana Lama Seri Menanti di sini antara program yang menyemarakkan pertabalan Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 pada 26 Oktober lalu.

Bersempena hari penuh bersejarah itu juga, pameran tersebut sedikit sebanyak memberi peluang kepada rakyat negeri ini mahupun luar mengenali dengan lebih dekat institusi diraja dan keluarga diraja.

Apatah lagi pameran tersebut dilakarkan dengan penuh kesempurnaan atas permintaan Tuanku Muhriz sendiri agar rakyat jelata lebih mengenali baginda dan keluarga diraja. Secara amnya pameran menyalurkan maklumat dan pengetahuan tentang peranan dan sumbangan Tuanku Muhriz sebagai pemerintah, meliputi pelbagai aspek yang tinggi nilai warisan sejarah dan estetika.

Antara yang dipamerkan ialah potret baginda dan keluarga, persalinan diraja, salasilah diraja dan replika alat kebesaran diraja seperti payung kuning, tombak berambu, keris panjang, pedang panjang dan tonggol.

Pengisian lain yang menghidupkan pameran itu adalah paparan tentang institusi diraja Negeri Sembilan, biografi, peranan dan sumbangan baginda kepada rakyat Negeri Sembilan, terbuka kepada semua termasuk pengkaji artifak.

Ringkas tetapi padat, sejurus mengunjungi pameran tersebut banyak maklumat yang mampu diperoleh termasuk berkaitan sejarah institusi diraja Negeri Sembilan sejak dari zaman pemerintahan Raja Melewar yang berasal dari Pagar Ruyung, Sumatera.

Perjalanan menyusuri istana lama untuk mengamati bahan pameran sangat terkesan apatah lagi dengan susun atur yang mengekalkan keasliannya.Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Drs. Shamsuddin Ahmad berkata, pameran yang bermula sejak 24 Oktober itu akan kekal di muzium tersebut sebagai penghargaan kepada rakyat untuk mengenali raja mereka.

''Bagaimanapun dari semasa ke semasa pihak Muzium Negeri akan menambah bahan termasuk memohon berkenan Tuanku Muhriz bagi mendapatkan koleksi baginda yang lain juga. ''Setakat ini baginda berkenan untuk membenarkan pihak Muzium Negeri menggunakan beberapa koleksi diraja seperti potret dan fotografi keluarga diraja untuk tatapan rakyat jelata," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau menambah, selain pameran Raja Kita, turut berlangsung di situ adalah pameran koleksi setem kenang-kenangan bersempena pertabalan Tuanku Muhriz itu.Setem kenang-kenangan tersebut memaparkan koleksi potret Tuanku Muhriz dan Tuanku Aishah Rohani. ''Ini juga satu sudut yang sangat menarik untuk dikunjungi kerana ia memaparkan sedikit sebanyak pembuatan setem tersebut bagi maklumat pengunjung," kata beliau.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu negeri, Datuk Mohammad Razi Kail berkata, pameran itu diharapkan dapat menarik lebih ramai pelancong datang ke Negeri Sembilan.

''Pameran Raja Kita merupakan suatu medium yang memberi pendedahan serta merapatkan jurang antara institusi diraja negeri ini dengan rakyat. ''Ia sangat bermanfaat kepada sesiapa saja terutama pelajar dan pengkaji sejarah yang ingin mengenali asal usul institusi diraja negeri ini," kata beliau di sini hari ini.

Beliau yang juga pengerusi jawatankuasa induk pameran itu berkata, pameran itu diadakan dalam usaha memelihara dan memartabatkan lagi warisan sejarah yang tinggi nilainya.Pameran Raja Kita dibuka secara percuma kepada orang ramai setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 6 petang.

Oleh JAMLIAH ABDULLAH, utusanN9@utusan.com.my

05 November 2009

UBI KAYU BAKAR KASIH SAYANG

Ketika makan tengahari bersama isteri di sebuah restoran mamak, tetiba teringat ubi kayu bakar!

"Hihs... teringin nak makan ubi kayu bakaq [r] la...," terpacul ungkapan itu dari mulut saya.

Ketika itu saya telah menyelesaikan hidangan nasi goreng kampung manakala isteri saya sedang terkial-kial hendak menghabiskan roti nan bawang putih bersama ayam tandoori yang dipesannya.

"Ha, kenapa?" tanya isteri saya.

"Entah, saja teringin nak makan. Tapi bukan ubi kayu [rebus] macamyang katerer buat tu." Balas saya.

"Ini ubi kayu mentah-mentah yang baru dicabut dari pokok, lepas tu masukkan dalam api yang marak, macam bakaq kayu api; lepas tu bila dah masak, ambik pisau kikih [s] kulit dia buang yang [h] itam dan arang-arang, fuh baru sedap." Saya melanjutkan penjelasan tentang ubi kayu bakaq.

Ada apa dengan ubi kayu bakar?

Sebenarnya, ketika melihat satu potong roti nan yang garing dan kehitaman itu, tetiba mengingatkan saya kepada ubi kayu bakar yang cukup popular pada ketika zaman kanak-kanak saya. Ubi kayu bakar juga adalah petanda bahawa saya sangat merindui kampung halaman setelah kali terakhir menjenguknya pada Aidilfitri yang lalu.

Ubi kayu bakar ada nostalgia yang tersendiri.

Pada ketika umur saya empat dan lima tahun, saya dan adik-adik saya serta makcik-makcik saya yang hanya tua tujuh atau lapan tahun lebih sahaja daripada saya adik-beradik seolah-olah menjadi rakan sepermainan.

Pada tanah yang lapang di sekeliling rumah, nenek dan ibu saya akan tanam dengan sayur-sayuran: cabai, ubi kayu, keledek dan labu. Bukan untuk dijual tetapi untuk makan sendiri.

Mencabut ubi kayu adalah aktiviti yang menyeronokkan. Mencabut ubi kayu tidak dilakukan sorang-sorang, lebih-lebih lagi kalau kudratnya bukan lelaki. Biasanya saya dan adik kedua saya serta makcik-makcik saya akan bersama-sama mencabut ubi kayu. Kadang-kadang ibu saya akan turut serta.

Batang ubi kayu dipegang beramai-ramai dan kiraan 1,2,3 dibuat untuk sama-sama menariknya sekuat hati. Biasanya akan tersembullah ubi kayu yang 'gemuk-gemuk' dan subur serta menggeramkan. Biasanya juga kami semua akan jatuh terlentang atas tanah dan bergulingan sambil ketawa berderai-derai.

Kemudian, ubi kayu yang dipotong dari batangnya akan dibasuh dan dibersihkan tanpa mengupas kulitnya. Setelah dibersihkan ubi kayu yang masih basah itu serta-merta pula dimasukkan ke dalam api yang biasanya akan dihidupkan lebih awal dengan menggunakan kayu api. Beberapa ketul ubi kayu akan dimasukkan ke dalam unggun api tersebut dan kayu digunakan untuk membalik-balikkan ubi kayu itu agar merata masaknya dan tidak hangit pada bahagian yang tertentu.

Ketika membakar ubi kayu, ia tidak boleh ditinggalkan walaupun sekejap kerana apinya yang marak sekejap sahaja akan merentungkan ubi kayu itu. Saya dan adik saya selalu sahaja menghanguskan ubi kayu bakar kerana kami tidak setia untuk menunggu. Kami biasanya akan membiarkan saja ubi kayu itu di dalam api dan buat hal sendiri.

Nasiblah kalau kami teringat untuk mengambil ubi kayu itu; tetapi selalu juga ubi kayu akan hangus dan menjadi arang begitu sahaja!

Kenapa kenangan ubi kayu bakar ini ditulis?

Ya, ubi kayu bakar tidak sekadar ubi kayu bakar sahaja. Lagi pun, sekarang ini susah kan hendak mencari ubi kayu bakar. Ubi kayu bakar bukan lagi makanan yang biasa. Ubi kayu rebus pun susah hendak jumpa sekarang ini. Memang ada hotel-hotel yang menghidupkan ubi kayu rebus yang dimakan bersama kelapa parut dan gula merah, tetapi ia terlalu bersifat 'kehotelan', 'kebandaran' dan 'keelitan'.

Ubi kayu bakar adalah lambang kasih sayang; ubi kayu bakar adalah lambang kerjasama dan gotong-royong. Ubi kayu bakar bagi saya adalah roh dan semangat kasih sayang hidup kami sekeluarga. Di dalamnya ada susah dan senang; di dalamnya ada tawa dan tangis.

Sebab itulah saya merindui ubi kayu bakaq!

01 November 2009

TAMAN NEGARA KAYAN MENTARANG

Oleh Latifahaida Abdul Latif
bminggu@bharian.com.my


Kawasan di Kalimantan Timur ini kaya keindahan alam, legenda penduduk disumpah jadi batu

SEBUT saja Kalimantan, pasti ramai membayangkan hutan tebal meliputi sebahagian besar tanah Borneo, menyimpan 1,001 khazanah alam yang masih belum diteroka.

Khazanah tersimpan bukan sekadar kehijauan flora dan kesegaran udaranya, tetapi juga keramahan dan keunikan budaya setempat yang menjanjikan pengalaman paling manis dan pasti sukar dilupakan.

Penulis dibawa ke Kalimantan Timur oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan, Tana Tam dan Forum Masyarakat Adat (Asli) Dataran Tinggi Borneo (FORMADAT) dan berpeluang meneroka kehidupan suku kaum Lun Bawan di Taman Negara Kayan Mentarang (TNKM).

Kembara penulis yang dikendalikan Borneo Jungle Safari, bermula dari Miri menaiki pesawat MASwings ke Ba’Kelalan, daerah tanah tinggi di Sarawak yang terkenal dengan buah epalnya yang manis.

Dari Ba’Kelalan, perjalanan diteruskan dengan menaiki motosikal selama sejam melalui jalan tanah merah berbukit bukau ke pos tentera Long Midang di sempadan Malaysia-Indonesia untuk proses dokumentasi.


Selesai prosedur imigresen, kembara bersambung menggunakan pacuan empat roda melalui beberapa kampung sebelum tiba kira-kira sejam kemudian di Long Bawan, pintu masuk ke TNKM.

Penulis bermalam di Agung Raya Inn, rumah penginapan yang sangat bersih dan selesa sebelum menyambung perjalanan keesokannya dengan menaiki pesawat ringan selama 30 minit dari Long Bawan ke Long Rungan.

Tiba di perkampungan kecil itu, disambut gelak tawa dan keletah anak-anak Long Rungan yang teruja melihat pesawat mendarat, mereka kelihatan ramah walaupun pada mulanya agak malu-malu.

Berbeza keadaan di kota, di kampung ini tiada kereta, motosikal atau basikal, juga tiada peti ais, televisyen atau mesin basuh, manakala pendingin hawa tidak diperlukan kerana udara cukup segar dan dingin serta bebas daripada pencemaran.

Anak-anak di Long Rungan yang peramah.

Anak kampung pula tidak perlu leka dengan permainan video, cukup dengan bermain di hutan dan sungai.

Penduduk Long Rungan dari suku kaum Lun Bawan, secara tradisionalnya petani dan pemburu dengan hasil tani utama adalah beras yang ditanam secara organik, selain terkenal dengan penghasilan beras merah yang sangat enak.

Penulis bermalam di rumah penduduk dan dijamu dengan juadah tradisional ‘tengayen’ yang dikaitkan dengan legenda Dayang Pelawar, gadis cantik yang dibunuh akibat rasa cemburu pemuda kampung.

Akibat tragedi itu, kampung berkenaan dikatakan ditimpa malapetaka dan hampir semua penghuninya bertukar menjadi batu yang ada di antaranya masih jelas kelihatan sehingga ke hari ini.

Kembara diteruskan keesokannya dengan menaiki bot enjin sangkut ke Batu Sicen untuk melihat beberapa tinggalan legenda Dayang Pelawar, juga tempat penyimpanan mayat dipenuhi keranda dan tulang manusia di lereng tanah tinggi itu.

Perjalanan menggunakan bot bersambung selama sejam lagi ke Giram sebelum bertukar pula bot untuk ke Pa’Upan, juga mengambil masa sejam tetapi tidak menjemukan kerana disajikan pemandangan hutan purba yang menghijau.

Angin yang menyentuh kulit serta hujan menambah kedinginan sepanjang perjalanan sebelum kaki menjejak tanah Pa’Upan yang majoriti penduduknya pesawah dan harga barangan runcitnya mahal disebabkan bekalan dibawa masuk dengan pesawat.

Penulis berpeluang menyaksikan barang keperluan seperti mi segera, makanan ringan, tepung, zink dan mangkuk tandas dipunggah dari pesawat untuk dipasarkan di Pa’Upan.

Di sini juga, masih ada bekas kolam merendam kepala manusia yang dipenggal kerana penduduk kawasan ini dulunya dikenali sebagai pemburu kepala atau ‘headhunters’, amalan yang bagaimanapun luput selepas kedatangan Kristian.

Dua hari di Pa’Upan membolehkan penulis menyelami kehidupan masyarakatnya, termasuk belajar tarian tradisional mereka sebelum kembara diteruskan menuju destinasi terakhir di Long Layu yang mengambil masa hampir dua jam menaiki bot.

Long Layu yang menempatkan kira-kira 800 penduduk, lebih moden berbanding Long Rungan serta Pa’Upan dan masyarakatnya juga masih utuh mempertahankan adat dan budaya mereka.

Selesai menikmati makan malam yang disajikan di rumah kepala adat kampung itu bernama Pak Lewi, dipersembahkan pula tarian tradisional Lun Bawan.

Apa yang menarik, penulis diberikan penghormatan dengan nama panggilan bua’ yang menurut adatnya ialah sebagai tanda hormat masyarakat di situ ke atas tetamu yang berkunjung ke kampung mereka.

Selesai bersarapan esok paginya, penulis menaiki pesawat ringan berpatah balik ke Long Bawan sebelum meneruskan perjalanan dengan pacuan empat roda dan motosikal ke Ba’Kelalan.

Kehidupan masyarakat Lun Bawan yang ringkas, namun sarat dengan adat, dihiasi pula kehalusan budi bahasa menjadikan kembara ini pengalaman cukup istimewa dan jika diizinkan Tuhan, penulis pasti kembali ke tanah tinggi itu.

FAKTA: Taman Negara Kayan Mentarang

  • Keluasan 1,600,000 hektar

  • Terletak di Kalimantan Timur

  • Kawasan hutan hujan tropika terbesar di Borneo

  • Majoriti penduduknya adalah Dayak dan Punan

    Bagaimana ke sana?

  • Menaiki penerbangan terus MASwings dari Miri ke Ba’Kelalan

  • Pesawat ringan Mission Aviation Fellowship (MIA) untuk ke kawasan pedalaman TNKM

  • Perjalanan juga boleh menggunakan pacuan empat roda, motosikal dan bot.